Saturday, 5 March 2016

MUKJIZAT AL-QURAN-FUNGSI GUNUNG-GANANG




Di dalam al-Quran Allah telah menjelaskan bahawa semua ciptaaNya tidak dijadikan dengan sia-sia tanpa sebarang fungsi. Firman Allah :

Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antaranya, secara main-main (sia-sia) (al-Anbiya’[21:16]).

Bumi yang luas terbentang mempunyai berbagai-bagai komponen utama yang tambah menyempurnakan susun atur alam ini. Di antara komponen yang penting kepada kewujudan alam ini ialah bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang. Tidak dapat dinafikan, kewujudan bukit-bukau dan gunung-ganang di serata dunia mempunyai fungsinya yang tertentu kepada kestabilan alam. Di antara fungsi segala bukit bukau dan gunung-ganang ini ialah sebagai penstabil bumi daripada sebarang gegaran.

Ketika membicarakan tentang fungsi alam ciptaan Allah, al-Quran yang diturunkan semenjak 1400 tahun dahulu telah sedia menjelaskan fungsi kewujudan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai pasak dan penstabil bumi daripada gegaran. Firman Allah:

(Mengapa kamu ragu-ragukan kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang telah mati?) Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya? (al-Naba’[78:6-7]).
Allah juga berfirman :

Dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya ia tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia mengadakan sungai-sungai serta jalan-jalan lalu lalang, supaya kamu dapat sampai ke matlamat yang kamu tuju. (al-Nahl[16:15]).

Juga firman Allah :

Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani. (al-Anbiya’[21:31]).

Fakta yang terkandung di dalam ayat-ayat di atas ternyata bertepatan dengan ilmu geologi moden yang mengakui kepentingan bukit-bukau serta gunung-ganang sebagai faktor pasak atau penstabil bumi daripada sebarang gegaran, tanah runtuh dan gempa bumi. Selain itu penemuan baru para saintis di bidang geologi dan kaji bumi juga mendapati bahawa bukit-bukau dan gunung-ganang sememangnya mempunyai akar yang jauh lebih dalam ke dasar bumi berbanding dengan puncaknya. Ini dijelaskan oleh Raymond Siever,seorang tokoh kaji bumi yang tersohor di dunia.

Oleh itu apabila bukit-bukau serta gunung-ganang semakin banyak digondol serta ditarah untuk tujuan pembangunan, maka kestabilan tanah akan terancam dan semakin banyak bencana alam seperti gempa bumi, gegaran dan tanah runtuh akan berlaku. Ini bertepatan dengan amaran Allah di dalam firmanNya:

Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat) (al-Rum[30:41]).

Contoh mudah yang boleh digunakan untuk memahami konsep ini ialah dengan memberikan contoh sehelai kertas yang diletakkan di atas meja. Kertas tersebut akan senang berterbangan apabila ditiup angin kerana tidak ada paku atau benda-benda berat yang menahannya daripada bergerak. Apabila benda-benda berat yang kita ibaratkan sebagai gunung-ganang diletakkan di atas kertas tersebut, kedudukannya akan bertambah stabil dan sukar diusik oleh angin yang bertiup atau arus air yang mengalir.

Para ulama juga menyokong teori ini dengan perumpamaan seorang nelayan yang berdiri di hujung perahunya yang kosong. Perahu nelayan tersebut sudah pasti akan terjongket, terbalik dan tidak stabil. Oleh itu, untuk menambahkan kestabilan perahu tersebut, nelayan itu perlu meletakkan barang-barang yang berat di dalam perahunya. Barang-barang itu juga boleh diumpamakan seperti bukit-bukau serta gunung-ganang. Setelah diisi dengan barang-barang tersebut, nelayan itu akan dapat berdiri dengan stabil di hujung perahu seperti yang dilakukannya sebelum ini.

Kesimpulannya, al-Quran sebenarnya sudah mengutarakan beberapa fakta saintifik sejak dari dahulu lagi. Kajian mengenai ilmu geologi hanya dapat diketahui apabila ilmu perngetahuan mulai berkembang dewasa ini. Maha Suci Allah yang Maha mengetahui.
  

Video tentang Gunung-ganang bukti kewujudan Allah

No comments:

Post a Comment